Thursday, June 30, 2011

Tuesday, June 28, 2011

Perantau

Aku membenarkan segala yang baba tulis di dalam posnya bertajuk Perantau. 

Sebagai perantau,tak kiralah perantau kategori manapun,ia akan menjadikan kita sebagai seorang manusia yang lebih tabah,sepatutnya. Kerana apabila kita terasing berada di tempat orang/baru maka segalanya perlu diuruskan/diselesaikan sendiri tanpa bantuan ibu bapa saudara-mara atau kawan-kawan. Merantau dapat menambah kenalan,pengalaman,pengetahuan serta jatidiri. Sebab itulah biasanya orang/kaum perantau/pendatang akan lebih berjaya di dalam hidup berbanding dengan orang tempatan - Ini bukan bermakna untuk berjaya maka kita wajib merantau. -Baba

Merantau atau hidup jauh dari keluarga terutamanya memang banyak mendidik dan membentuk peribadi dan corak pemikiran aku. Dulu, kalau zaman kanak-kanak, semuanya akan diuruskan dan difikirkan oleh emak dan baba. Bermula dari tadika, disekolahkan aku di taski ABIM. Habis tadika, masuk SKT. Habis SKT, masuk pula ke MMAS yang aku tak pernah tahu akan kewujudannya. Cuma selepas berakhirnya zaman aku di MMAS, aku mula membuat percaturan hidup sendiri. Aku masuk ke DQ KKB dengan semua urusan yang aku setelkan sendiri. Teringat lagi waktu itu kami sekeluarga sedang bercuti di Pulau Pangkor. Apabila mendapat panggilan dari JAKIM, aku bergegas balik sendiri untuk menyelesaikan semua urusan yang dikehendaki. Dan Alhamdulillah, selesai semua urusan, aku mula masuk ke Sem 1 Persijilan selepas tak sampai sebulan bercuti selepas SPM berakhir.

Mula-mula menjadi perantau memang sedih. Maklumlah, berjauhan dari keluarga untuk pertama kalinya. Zaman sekolah menegah dulu bukannya ada telefon bimbit yang boleh nak sms atau call famili bila-bila pun. Lagi-lagi sedih bila dulu duduk celah ketiak mak ayah alih-alih nak kena hidup sendiri. Walaupun duduk jauh, aku tetap telefon emak seminggu sekali. Cakap dgn mak je dgn baba segan+tatau nak ckp ape. 

Apabila mendapat tawaran belajar di Mesir 6 tahun yang lalu, aku sudah tidak berapa kekok lagi kerana hidup sebagai 'perantau' sebelum ini telah mengajar aku banyak benda. Mesir adalah tempat aku menimba pelbagai ilmu pengetahuan. Tempat aku kenal dengan ramai orang. Tempat aku membina pemikiran dan peribadi. Tempat aku mendapatkan pengalaman untuk menjadi bekalan di masa hadapan. Dan Mesir tak dapat aku sangkal lagi adalah merupakan universiti kehidupan yang terulung. Macam-macam peristiwa dan pengalaman yang telah aku timba. Macam-macam latar belakang dan cara fikir manusia yang telah aku temui.

Kata orang, bila kita biasa hidup susah kita akan menghargai kehidupan kita. Macam itulah yang aku rasa. memang ada benarnya. Mesir bukan negara maju. Kalau nak dinisbahkan Mesir dengan Malaysia, ramai orang kata Mesir adalah ibarat Malaysia di tahun 70-an. Sistem komunikasi yang tak berapa nak canggih. Perhubungan awam yang tak selesa. Kemudahan yang banyak cacat celanya. Ada sistem tapi ibarat tak bersistem dsb. Mungkin budak-budak yang belajar Mesir boleh tambah sendiri. Tapi itu sebenarnya bukanlah menjadi penghalang kepada kita beralasan untuk tidak maju dalam kehidupan sendiri. "Alah, dah mmg Mesir macam ni..redho jela.bla..bla.." Tapi sebaliknya setiap peristiwa yang kita lalui hendaklah dipandang dari aspek yang positif. Aspek yang boleh menjadi batu loncatan untuk kita memperbaiki salah dan kekurangan diri kita. Bukannya kekurangan itu dijadikan asbab untuk melemahkan diri dan semangat kita pula.

Aku beri contoh mudah. Kalau di Malaysia, zaman HO kerja macam nak gila. Pagi petang siang malam. Rehat entah ke mana, tidur pun sama. Tunggang langgang habis. Menjadikannya lebih teruk apabila, orang atasan/senior pula menambahkan pelbagai tekanan. Miserable. Aku cuba untuk bandingkan dengan Mesir, HO nya tidaklah seteruk Malaysia. Dan walaupun dalam persekitaran yang serba kekurangan cth: kurang kemudahan kesihatan, wad yang sesak dsb, mereka enjoy dengan kerja mereka.  [sekadar yg sempat aku amati] dan Dr senior/pakar sangat supportive dan cuba untuk mengajar segala kekurangan ilmu HO yang dihadapi berkenaan. Mereka sangat lain dari sistem yang kita dengar di Malaysia. Dan  inilah aspek positif dan baik yang aku harap aku dapat ambil dan praktikkan apabila balik ke Malaysia nanti. Dan mudah-mudahan semua mahasiswa graduan perubatan sini dapat praktikkan apabila pulang nanti. Mudah-mudahan kita lah yang mengubah arus suasana di tempat kerja nanti, bukan yang mengikut arus yang sedia ada bahkan memburukkan lagi keadaan yang telah sedia ada.

Mesir adalah universiti kehidupan. Carilah ruang dan peluang untuk belajar tentang kehidupan di sebalik kekurangan dan kepayahan hidup di sini. InshaAllah, apabila kita sudah biasa hidup dalam kesusahan, kita akan kurang merungut dan bertambah pula syukur kita kepada Allah. 

Inilah hikmah mengembara di bumi orang. Moga kita menjadi pengembara yang celik dalam tempoh pengembaraan yang singkat ini. Pilihlah samada ingin menjadi kristal atau debuan pepasir kan? Dan jangan dilupa, kita juga merupakan perantau dan pengembara ke negeri akhirat. Mudah-mudahan bekalnya cukup apabila kita sampai ke destinasi terakhir.

Berjalanlah dan lihatlah dari kacamata seorang Khalifah Allah. Sekian


Jom! Mengembara mencari ilmu dan pengalaman