Belakangan ini, budaya berjidal [Berdebat/menegakkan hujah apabila berselisih pendapat] semakin menjadi-jadi pulak di dalam FB. Budak medik, budak agama, budak engine dan macam-macam budak dari pelbagai latar belakang politik dan pemikiran masing-masing menunjukkan jaguh dan kepetahan membalas dan mematahkan hujah 'lawan'. Semakin panjang dan meningkat jumlah komen di FB [terutamanya] menunjukkan semakin hangat lah sesuatu topik itu dibincangkan.
Disebabkan kita mempunyai kebebasan bersuara, maka berhujah, berdebat, berjidal adalah suatu yang baik dan sihat bagi aku. Dalam apa-apa medium yang digunakan dari alam realiti ke alam maya. Dari helaian bercetak sehingga ke medan dunia siber tanpa sempadan. Ya, berhujah untuk memberikan pandangan dan pendapat adalah kebebasan bersuara untuk semua orang. Human Rights katanya. Tapi, bagaimana pula dengan KEBEBASAN UNTUK MENDENGAR DAN MENERIMA PENDAPAT ORANG LAIN. Adakah kebebasan itu masih wujud dalam diri si pendebat? Atau sekadar berdebat untuk memenangkan pendapat sendiri dan beberapa kelompok aliran pemikiran yang sama mereka sahaja tanpa memberikan ruang untuk mendengar, menghayati dan memahami lontaran ide-ide orang lain?
Justeru, aku sokong mereka yang berjidal demi untuk menegakkan dan mencari kebenaran. Bukannya jidal sesetengah kelompok taasub yang jelas hanya mahu memenangkan ideologi mereka sendiri disamping tidak menghormati pula akhlak sebagai seorang Muslim ketika berhujah. Jika ideologi atau tindakan yang dilakukan itu salah, maka hendaklah kita mengakui kesalahan itu dan memperbaikinya. Bukan berlagak ego dan cuba untuk menegakkan benang yang basah.
-------
Realistik.
Manusia yang hebat berfikir, kaya dengan falsafah penuh dengan warna-warni teori adalah bagus sekali. Ini Muslim yang Islam dambakan. Tetapi mereka yang idealistik ini akan menjadi manusia pincang andainya mereka tidak berpijak di bumi nyata. Benar sekali dunia pemikir itu penuh dengan warna yang pelbagai namun hakikatnya, dunia realiti yang kita pijak punyai ranjau dan duri. Justeru, untuk menggapai teori dan ideologi yang diperjuangkan sudah tentu sahaja akan berdepan dengan dugaan yang pelbagai.
Contoh mudah yang pernah aku bawakan. Bab sedekah.
Kita acapkali disuap dan disogok dengan pahala orang yang bersedekah. Berlipat ganda dan dibalas Allah sepuluh kali ganjaran dari apa yang kita sedekahkan. Itu secara teorinya.
Mari kita lihat tatkala ingin mempraktikkannya. Turun sahaja dari teksi, melihat seorang makcik dengan anak kecilnya yang meminta sedekah di tepi jalan. Ketika itu, barulah teori 'pahala sedekah' yang pernah didengar dan dipelajari teruji. Samada, tangan diselukkan ke dalam poket untuk menghulurkan wang ATAU kita boleh memilih untuk tidak mengendahkan si peminta sedekah.
Itu contoh mudahnya. Ketika ingin mempraktikkannya 100% kekuatan adalah di dalam tangan kita. Natijah dari perbuatan kita samada untuk memberi sedekah atau tidak itu adalah pelaksanaan amali berdasarkan teori yang sudah dicerna dan difahami dengan baik atau sebaliknya. Dan mungkin sahaja ketika itu kita memang sudah bersedia untuk bersedakah, namun terdapat pula halangan lain seperti tiada wang, mood tidak baik dll.
Itu contoh berskala kecil.
Teori skala besar.
Kita acapkali mendengar slogan-slogan atau organisasi, persatuan, jemaah yang mahukan negara Islam tertegak di tanahair kita. Negara Islam, cakap sahaja kepada pakcik-pakcik kedai kopi hingga pimpinan politik negara, sudah tentu itu adalah matlamat kita dan mereka.
Persoalannya. Adakah kita cukup realistik dan sedar dengan suasana masyarakat yang jauh dari agama Islam di tanahair kita? Adakah masyarakat sebegini mampu untuk menegakkan kembali Islam yang sudah longlai? Adakah jaminan andainya kita sudah menjadi negara Islam, bahawa masyarakat ini mampu untuk mengekalkan dan mengamalkan Islam keseluruhannya? Dan banyak lagi persoalan yang boleh dilontarkan.
Realiti umat ini. Umat ini sudah menjauh dari apa yang Islam ajarkan. Umat ini semakin tenat dengan segala macam penyakit yang disebabkan tangan mereka sendiri mahupun tangan 'musuh' mereka. Umat ini sudah lemah dan longlai dengan segala macam fasad hasil dari hati yang tidak murni dan bersih. Umat sudah jauh dari norma dan etika gaya hidup sebagai umat Islam sebenar. Umat ini telah jauh dan menjauh dari segala-galanya.
Ubat. Ubat kepada masalah ini adalah dengan mengembalikan jatidiri Muslim ke dalam diri setiap individu Muslim yang ada. Pemberi ubatnya adalah kita. KITA. Kita yang menyedari bahawa umat ini sudah tenat.
Usah berangan untuk menjadi tabib umat andainya diri sendiri menjauh dari Islam. Usah berangan andainya kefahaman tentang Islam pun masih samar-samar. Kurang jelas. Usah beranganlah nak menegakkan negara Islam kalau berjidal pun sekadar nak memenangkan pendapat diri sendiri sekadar untuk kepuasan diri sendiri dan untuk menjatuhkan air muka orang lain.Usah baranganlah kalau sesama Islam berbeza pendapat pun kita tak boleh terima. Usah beranganlah kalau kita rasa kita seorang sahaja yang rasa PALING ISLAM dalam dunia ini. Usah beranganlah nak mewujudkan masyarakat Muslim kalau dalam diri kita pun penuh dengan penyakit umat. Riak, ujub, takabbur, sombong, sum'ah, ghurur, taasub, ekstremis dsb. Usah beranganlah kalau dalam diri sendiri ada penyakit suka memperlekehkan dan memperkecilkan usaha orang lain dan memandang besar dengan amal diri sendiri. Usahlah berangan. Hentikanlah. Selagi mana Daulah Islam belum tertegak dalam diri kita, hentikanlah angan-angan ini semua!
Berpijaklah di bumi nyata.
-------
Menempelkan status seorang sahabat di FB:
Pesan Imam Auzaie tentang jidal -
' Tinggalkanlah tentang jidal apa yang :
Menyesatkan Hati Menumbuhkan dendam Mengeringkan hati
Menghapus sifat wara' dalam ucapan dan menghilangkan wara' dalam perbuatan
Hakikatnya, tin kosong itu bunyinya kuat andai diketuk. Namun isinya dalamnya tiada...
Sekian. Selamat beramal.

No comments:
Post a Comment